Selasa, 24 Ogos 2010

Teknik Belajar Matematik (Repetition)




Ada beberapa perkara yang belajar daripada Budiyamin tentang matematik. Satu, kalau nak pandai matematik, kita kena suka matapelajaran tu. Habis, kalau kita dah memang tak suka macam mana? Caranya, mula-mula buat-buat macam kita sukakan matapelajaran tu. Kita macam berlakon sikit yang kita suka subjek tu. Kemudian, mula buat latihan sedikit demi sedikit. Tak perlu terus mula dengan 100 soalan. Bukan apa, takut terkejut nanti lepas tu terus makin benci. 

Kedua, matematik adalah latihan dan latihan adalah matematik. Maksud saya, matematik adalah satu subjek yang anda perlu buat latihan untuk menguasainya, bukan membaca. (Ada pelajar yang belajar matematik dengan hanya membacanya). Saya berjaya menguasai matematik kerana saya ikut Budiyamin buat latihan. Semakin banyak latihan saya buat, saya jadi semakin cekap. Malah, ramai kawan sekelas akan tanya saya dan Budiyamin tentang cara menjawab soalan matematik.

Ketiga, matematik adalah matapelajaran yang memerlukan disiplin. Walaupun anda faham topik tertentu, anda tidak akan dapat menjawab dalam masa yang diberikan jika anda tidak mendisiplinkan diri untuk menjawab soalan matematik. Setiap kali anda berlatih menjawab soalan matematik, catat masa yang anda ambil. Selalunya anda ada masa kurang daripada 3 minit untuk menjawab satu soalan. Jadi, cuba kejar masa itu, maksud saya, cuba latih menjawab dengan secepat mungkin.

Keempat, anda perlu HAFAL SIFIR! Saya tahu ramai pelajar yang merungut tentang perkara ini. Ada pelajar tingkatan lima yang saya uji dengan sifir 7 pun tidak lepas. Alasan mereka, mereka boleh guna mesin kira, mengapa perlu ingat sifir?

Persoalannya ialah, hafal sifir bukan sahaja untuk mengetahui berapa 5 x 5 dan berapa 12 x 7. Tetapi, menghafal sifir akan membuat otak anda lebih cepat dan cekap mengira. Kalau asyik bergantung kepada mesin kira, daya pemikiran anda akan semakin lemah kerana tidak ada usaha yang dilakukan oleh otak anda. Lihat mereka yang handal matematik, pasti mereka cekap juga dalam sifir.

Akhir sekali, anda perlu ada azam dan kemahuan untuk jadi hebat dalam subjek matematik. Jika anda kisah tidak kisah, sukar untuk anda kuasai subjek ini. Insyaallah saya akan kongsikan lagi di masa akan datang petua-petua untuk menguasai matapelajaran matematik ini.

---------------------------------



Saya berpendapat teori Behavioris telah digunakan secara meluas sejak dahulu sehingga kini dalam pembelajaran dan pengajaran Matematik. Latihan ulangan merupakan kunci penting yang dijadikan amalan oleh kebanyakan pelajar untuk skor dalam subjek Matematik. 

Pelajar, guru dan masyarakat telah dimomokkan bahawa untuk skor subjek Matematik, kita perlukan latihan berulang kali untuk memupuk kefahaman.

Namun, saya mendapati satu masalah timbul setelah sekian lamanya teknik ini diamalkan : Para pelajar terbiasa menghafal jawapan dan tidak membina konsep Matematik dalam fikiran mereka. Pembelajaran yang kita katakan terjadi dan melibatkan perubahan tingkah laku hanyalah kerana mereka dapat menjawab soalan di atas kertas peperiksaan. Jika kita meminta para pelajar untuk menerangkan konsep itu, ramai yang tidak dapat menceritakannya dengan baik. Malahan saya jangka ramai yang tidak dapat menceritakannya langsung. 

Teknik ulangan menyebabkan hafalan dijalankan dengan mudah. Walaupun kurikulum telah berubah perlahan-lahan untuk lebih menitikberatkan teori konstruktivisme dan kognitif, namun para pelajar masih memilih teknik latih tubi sebagai medium utama untuk belajar dalam Matematik. Yang berjaya menjawab soalan akan diberi pujian dan sebagainya.

Justeru, dalam jangka masa panjang, kita cenderung menghasilkan kumpulan pelajar yang skor Matematik, namun tidak dapat menghasilkan konsep-konsep baru dalam bidang ilmu Matematik. Kita tidak melahirkan pemikir Matematik. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan